Tuesday, September 22, 2015

Peta Pemikiran Pengunaan Blog

Penggunaan blog dapat menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran.
           
            Kepesatan Teknologi Maklumat pada masa kini memungkinkan para guru mempunyai banyak pilihan untuk mengetengahkan pelbagai strategi untuk menyampaikan isi pelajaran. Antara cabang TMK yang yang berkesan adalah dengan penggunaan blog. Apa itu blog?. Blog adalah satu platform secara atas talian (online) untuk kita menulis, berkongsi dan mencatat aktiviti harian di dalam blog. Terdapat pelbagai jenis blog sama ada secara percuma ataupun berbayar. Penyediaan blog tidaklah serumit untuk menghasilkan sebuah laman web, cukuplah sekadar mempunyai kemahiran asas komputer. Bagi individu yang berkemahiran mereka dapat menjana pendapatan dengan menghasilkan sebuah blog untuk memasarkan produk, mengembangkan perniagaan dan juga berjual-beli secara atas talian.
            Sebagai seorang guru, kita sepatutnya merebut peluang dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan blog ini. Menurut Abd. Rahim (2000), menyatakan bahawa Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan memerlukan satu rombakan baharu dalam dasar pendidikan tinggi khususnya dari segi liberalisasi, pendemokrasian dan reformasi pendidikan tinggi.  Justeru, guru hari ini perlu menguasai konsep pengajaran berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran dan pembelajaran guru. Bagi diri saya sendiri, medium blog ini banyak memberi kemudahan untuk menyampaikan isi-isi pelajaran dan juga peristiwa yang berlaku di sekolah. Pada masa yang sama saya dapat mencoretkan isi-isi pelajaran berkatan dengan Program Pensiswazahan Guru yang saya ikuti kini. Dengan sedikit kemahiran teknologi maklumat yang saya miliki saya Berjaya menghasilkan sebuah blog untk kursus Guru dan Canaran Semasa (EDU3093), alamat blog ini adalah seperti berikut; http://edu3093joha.blogspot.my/
            Di dalam blog yang saya hasilkan ini, berbagai bahan yang berkaitan dengan program PPG bermula Semester 1 lagi dan juga bahan-bahan khusus untuk kursus EDU3093. Penghasilan blog ini adalah diharapkan ianya boleh membantu rakan-rakan saya yang lain untuk membuat rujukan dan panduan bagi kursus ini
            Jika dilihat dan kita mencari maklumat secara atas talian berkaitan dengan tajuk Guru dan Cabaran Semasa terdapat begitu banyak blog-blog yang dihasilkan oleh guru-guru seperti saya. Saya berharap blog saya ini boleh tersenarai di dalam enjin carian Google. Bagi mencapai ke tahap begini, rating pelawat yang tinggi seharusnya dapat dicapai.
            Penggunaan grafik yang berwarna dan menarik di dalam penghasilan peta pemikiran yang telah saya muat naik ke blog, memudahkan pembaca untuk mengutip maklumat-maklumat yang penting. Sebagaimana yang kita ketahui, sekiranya hanya paparan tulisan dan nota sahaja ianya akan membosankan pembaca, ini menyebabkan blog kita tidak akan dilawati oleh orang lain. Grafik peta pemikiran yang ringkas tetapi padat memudahkan pembaca lain untuk menganalisa maklumat dan dapat memahami apa yang hendak disampaikan oleh penulis blog berkenaan. Warna yang terang dan jelas telah saya gunakan, agar sekali imbas, pembaca sudah tertarik untuk mengikuti blog kita. Tona warna hendaklah sepadan, tidak terlalu terang dan tidak terlalu gelap.
            Dalam pada itu, bahan-bahan yang di muat naik dalam sesebuah blog hendaklah mempunyai kualiti dan boleh dipercayai isinya. Penulis blog hendaklah bertanggungjawab dengan penulisan blognya. Amalan menceduk dan mengambil bahan daripada penulis blog yang lain hendaklah dielakkan sama sekali. Sebaiknya perkongsian bahan hendaklah mendapat kebenaran daripada penulis asal dan dinyatakan dari mana sumber bahan tersebut. Pengisian blog saya, adalah hasil usaha saya sendiri, dan saya memberi kebenaran kepada penulis-penulis blog yang lain untuk berkongsi isi yang terkandung di dalam blog saya ini.
            Kesan audio visual juga banyak mendatangkan pelawat unik. Klip vido yang dimuat naik hendaklah berkaitan dengan tema blog yang dihasilkan. Durasi videonya pula antara 5 hingga 10 minit. Video yang panjang menambah beban untuk blog ditonton dan menambah kebosanan pembaca untuk mengikutinya. Informasi yang hendak disampaikan semestinya bertepatan dengan tema blog.

            Secara kesimpulannya, penggunaan blog dapat meningkatkan pemahaman kepada pembaca sekiranya blog yang terhasil berkualiti dan mempunyai maklumat yang dikehendaki. Sebagai seorang guru yang terkehadapan di dalam bidang ICT, kita seharusnya menyahut cabaran ini dengan mengaplikasikan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, sebagai cadangan penambahbaikan, pihak kerajaan seharusnya melipat gandakan usaha untuk mengeluarkan belanja dalam menaik taraf kemudahan internet yang terdapat di seluruh negara. Kaedah pembelajaran abad ke 21 menuntut guru sentiasa mendahului teknologi. Fobia kepada teknologi akan merugikan pihak guru itu sendiri.

Friday, September 18, 2015

Slide Masalah Gangguan Emosi

Peta Pemikiran










Tekanan Emosi dalam kalangan murid

Pendahuluan
           
Setiap individu yang yang hidup dengan kewarasan yang normal akan mengalami pelbagai jenis emosi. Emosi yang gembira digambarkan sebagai emosi yang positif manakala emosi yang kurang menyenangkan dikenali dengan emosi negatif. Perbezaan antara individu dari segi persekitaran, pengaruh keluarga, rakan sebaya, dan juga latar belakang didikan agama mewujudkan emosi yang berbeza-beza antara satu sama lain. Keunikan penciptaan manusia oleh Allah SWT membolehkan setiap manusia mempunyai perasaan dan emosi. Perkataan emosi sebenarnya berasal daripada bahasa Perancis, “emotion”, dan “émouvoir” yang bermaksud ‘kegembiraan’.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, emosi bermaksud perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain. Mengikut Bruno (1984), menterjemahkan emosi sebagai suatu keadaan yang mampu mengganggu kitaran bendalir di dalam badan. Oleh itu, Beliau melihat emosi daripada prespektif ini kerana apabila seseorang itu mengalami emosi, hampir keseluruhan keadaan sistem badanya terganggu dengan pelbagai perubahan fisiologi yang berlaku dalam tubuhnya. Kadang- kala kesihatan individu yang mengalami gangguan emosi juga semakin terjejas. Gangguan emosi pula boleh ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh murid-murid. Dalam satu kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding tahun 1996 (Utusan Melayu, 2011). Bilangan peningkatan dalam masa 10 tahun ini agak membimbangkan.

Sistem pendidikan di negara kita yang lebih berorientasikan peperiksaan sedikit sebanyak juga mengakibatkan ganngguan emosi di kalangan murid di sekolah. Sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi yang mengikut peredaran zaman sesuai dengan kehendak cabaran semasa. Sebelum kehadiran penjajah British ke Tanah Melayu, sistem pendidikan yang ada tidak tersusun, ianya lebih kepada sistem pendidikan yang berteraskan sistem pondok yang diadakan di madrasah dan sekolah-sekolah agama. Semasa zaman penjajahan British, sistem pendidikan di Malaysia mengalami sedikit transformasi. Penjajah British memperkenalkan sistem pendidikan Vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar di sekolah terbabit. Terdapat tiga jenis sekolah aliran Vernakular iaitu sekolah aliran Melayu, sekolah aliran Cina dan aliran India. Selepas Tanah Melayu mendapat kemerdekaan, pelbagai laporan dan penyata telah dibentangkan sebagai penentu hala tuju sistem pendidikan negara. Antaranya termasuklah Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Wu (1951), Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960). Selepas dari Laporan Rahman Talib 1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang sebelumnya berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.
           
            Sistem pendidikan terus mengalami perubahan yang dinamik dan berterusan. Kurikulum sekolah rendah mula diperkenalkan pada tahun 1983 dengan menggunakan nama Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Pada tahun 1993, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan. KBSR disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

            Semua sekolah  rendah di Malaysia telah menggunakan satu kurikulum baru yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini dijalankan secara berperingkat di seluruh Malaysia bagi murid Tahun  Satu 2011.  Ia selaras dengan perkembangan dan permintaan semasa yang menuntut modal insan yang lebih  berkualiti sejajar dengan  zaman yang serba maju dan mampu bersaing di peringkat global. Proses pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks.

            Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menitik beratkan perkembangan yang seimbang dirangka sebagai penetapan pegangan buat guru dalam menentukan hala tuju murid mereka.
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Ketidakupayaan murid dalam menghadapi permasalahan mereka akan menyebabkan mereka mudah mengalami gangguan emosi. Sebagai seorang guru, kita seharusnya bijak menangani masalah murid agar gangguan emosi yang mereka hadapi tidak berada di tahap yang kritikal. Masalah gangguan emosi memang dihadapi oleh semua orang. Terpulang pada tahap mana seseorang itu berupaya untuk menanganinya.

Jenis-jenis gangguan emosi
           
Terdapat pelbagai jenis gangguan emosi yang dihadapi oleh murid di sekolah. Jenis gangguan ini diterjemahkan oleh mereka dengan memperlihatkan sikap mereka pada sesuatu ketika. Secara umumnya gangguan emosi di kalangan murid di sekolah boleh dikenali dengan melihat perubahan sikap yang mereka alami. Sebagai seorang guru, kita hendaklah bijak menangani keadaan gangguan emosi murid agar keadaan murid tidak menjadi lebih kritikal.

            Gangguan emosi secara umumnya terbahagi kepada tiga kategori iaitu
      i.        Gangguan emosi ringan
     ii.        Gangguan emosi sederhana, dan
    iii.        Gangguan emosi berat

Gangguan emosi ringan
           
Gangguan emosi ringan adalah jenis gangguan pada peringkat permulaan. Murid yang mengalami gangguan emosi ringan ini, tidak begitu kelihatan ciri-ciri luarannya kerana pada peringkat ini murid mampu untuk mengawal diri dan perasaan masing-masing. Kebiasaanya murid di sekolah tidak begitu ketara pada peringkat gangguan ini, mereka masih boleh bergaul dan berinteraksi sesame mereka tanpa menjejaskan komunikasi. Namun secara relatifnya gangguan emosi ringan tidak bersesuaian dengan tahap perkembangan umur murid. Sebagai contohnya, suasana di dalam bilik darjah, bersesuaian dengan naluri kanak-kanak yang ingin bermain dan berkongsi peralatan bersama dengan murid lain, tetapi ada juga terdapat segelintir murid yang merasa kurang senang apabila peralatan mereka dikongsi dengan orang lain.

Gangguan emosi sederhana
           
Sifat penentangan dan berbagai jenis perasaan jelas menonjol pada gangguan jenis ini. Kesedihan, ketakutan dan berbagai emosi jenis negatif sering mengganggu kehidupan muird di sekolah. Sikap menyendiri, pemarah adalah sikap yang yang ditunjukkan oleh murid yang mengalami gangguan jenis sederhana. Emosi yang sepatutnya bersifat normal dan tidak mampu dihadapi oleh murid menyebabkan mereka sering bertindak di luar kawalan. Perasaan tidak puas hati akan dizahirkan dengan pemberontakan secara senyap pada peringkat awalnya bertukar kepada secara teran-terangan. Ada kalanya murid akan menangis untuk menunjukkan perasaan meraka terganggu. Malahan mereka akan bertindak di luar kebiasaan sikap normal mereka seperti menjerit, memukul diri sendiri atau merosakkan harta benda sekolah.
           
Terdapat juga murid yang terbawa-bawa masalah dirumah hingga ke sekolah, sebagai contohnya apabila dirumah, ketegangan masalah ibu bapa menyebabkan murid mempunyai perasaan dengki terhadap rakan mereka. Murid berkenaan akan cuba mencari jalan untuk melepaskan perasaan mereka dengan bertindak mencuri peralatan murid lain. Mereka beranggapan murid lain juga tidak berhak mendapat kasih sayang seperti mana yang mereka alami. Di dalam bilik darjah, murid menunjukkan penolakan mereka terhadap arahan guru dengan membuat mimik muka. Murid menunjukkan protes dengan tidak menyiapkan latihan yang disediakan malahan sering menimbulkan gangguan kepada murid lain.

Gangguan emosi berat
           
Gangguan emosi berat adalah peringkat yang paling teruk. Guru dapat melihat dengan jelas murid berkenaan sedang mengalami gangguan emosi. Tingkahlaku, pertuturan, perbuatan murid sememangnya kelihatan berlainan dari kebiasaanya. Tingkahlaku ini bukan sahaja membahayakan diri mereka malahan kepada murid lain. Kebiasaannya murid akan mengamuk, merosakkan harta benda dan mengeluarkan perkataan yang kesat. Jika perlakuaan seperti ini tidak dibendung dari awal, murid tersebut tidak akan mampu untuk mengawal emosinya apabila dewasa kelak seterusnya mengganggu proses pembelajarannya.
Pada peringkat yang lebih teruk, murid yang mengalami gangguan emosi berat mudah diserang histeria. Ada pandangan yang mengatakan histeria adalah kecelaruan mental yang dihasilkan daripada kemurungan yang tinggi. Penyakit ini dicirikan oleh kekurangan kawalan ke atas tingkah laku dan emosi diri. Sering kali histeria menyebabkan luahan emosi yang keterlaluan seperti menjerit-jerit. Dalam kalangan ahli psikologi, mereka mengaitkan histeria dengan faktor psikologikal. Bagi tentera yang berperang misalnya, trauma perang itu dianggap puncanya.

Punca-punca gangguan emosi di kalangan murid
           
Berdasarkan pengalaman mengajar saya di sekolah, murid menunjukkan pelbagai sikap dan tingkahlaku yang boleh dikenalpasti. Tingkahlaku tersebut amat berlainan seperti kebiasaanya. Sebagai guru, kepekaan dengan apa juaperkembangan murid. Sebarang perubahan tingkah laku yang ketara dalam kalangan murid perlu diberikan perhatian. Contohnya apabila murid yang selama ini aktif dan ceria, tiba-tiba menjadi muram serta pasif. Guru perlu melakukan kaji selidik punca masalah tersebut dan membantu murid sebaik mungkin. Gangguan emosi sering berlaku dalam kalangan murid. Masalah tersebut mungkin berpunca daripada situasi persekitaran sekolah, masalah keluarga, cara pengajaran guru dan masalah rakan sebaya.

i.        Persekitaran sekolah

Menurut Case (1985), keadaan pelajar yang bersesak dan pada di dalam bilik darjah yang kecil boleh mendatangkan masalah tekanan dan disiplin di kalangan mereka. Keadaan bilik darjah yang terlalu panas dan padat dengan bilangan murid-murid akan mendorong murid-murid membuat sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang sekolah.

Susun atur biilik darjah yang tidak efiesen menambahkan lagi suasana yang rimas. Pertambahan bilangan murid seiring dengan pertambahan bilangan penduduk di sesuatu tempat mengakibatkan bilangan murid juga akan bertambah. Sekolah yang berada di kawasan bandar keadaannya bertambah sesak dan padat. Persekitaran sekolah yang tidak kondusif menyebabkan murid kurang berminat untuk mengikuti pembelajaran. Suasana yang tidak menyeronokkan akan mengakibat sekelompok kecil murid menimbulkan gangguan kepada murid lain. Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami gangguan emosi akan menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk dan berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai dengan situasi-situasi normal.

Kelompok murid yang menimbulkan gangguan di dalam kelas mengakibatkan gangguan emosi kepada murid yang berminat untuk mengikuti pembelajaran. Gangguan yang ditimbulkan akhirnya akan menjejaskan tumpuan murid lain. Ini secara tidak langsung akan menarik rakan yang lain untuk berbuat demikian. Masalah sebegini jika dibiarkan berlarutan akan menimbulkan masalah kepada pihak sekolah di kemudian hari. Sehingga sampai ke peringkat murid-murid yang mengalami masalah gangguan emosi ini mengalamai kemerosotan prestasi akedemik mereka. Kedaan seperti ini akan merugikan murid tiu sendiri, seterusnya pihak sekolah juga akan merasa tempiasnya.

Persekitaran suasana perkampungan di Felda sedikit sebanyak juga tidak jauh bezanya dengan sekolah di bandar. Secara puratanya bilangan murid di dalam sesebuah kelas seramai 25 orang. Pengaruh media massa dan ledakan kepesatan teknologi peranti banyak mempengaruhi kehidupan kanak-kanak pada masa kini.

ii.        Masalah keluarga

Latar belakang kehidupan keluarga yang bermasalah memberi kesan yang mendalam kepada emosi murid. Peristiwa keretakan rumah tangga ibu bapa menyebabkan murid kehilangan tempat kasih sayang. Perasaan rendah diri dan menganggap diri sendiri berada di dalam serba kekurangan menyebabkan tumpuan mereka di dalam kelas semakin berkurangan. Murid yang mengalami sejarah silam yang negatif juga akan terbawa-bawa ingatan tersebut di sepanjang kehidupan mereka. Penderaan, kematian, kehilangan orang yang tersayang membuatkan murid berkenaan mengalami tekanan emosi yang berlanjutan.

Menurut Sandtorm (1968), perasaan ketegangan ini akan terluah sabagai perlakuan salah penyesuaian yang dilakukan di rumah dan di sekolah. Murid-murid akan mengeluarkan ketegangan emosi ini semasa berada di sekolah.  Murid-murid yang mengalami ketegangan emosi ini memerlukan kasih sayang daripada keluarganya. Oleh kerana tidak dapat perhatian daripada keluarganya, maka mereka melakukan tindakan-tindakan yang luar biasa untuk mendapatkan  perhatian daripada guru.

Keluarga yang tidak mesra, menjadikan murid mengambil contoh daripada keadaan tersebut dan memendam perasaan sehingga menunggu masa untuk dilepaskan. Tindakan luaran yang dapat dikesan oleh guru termasuklah murid menjadi pendiam, pemarah dan bersikap biadab. Guru seharusnya bijak mengesan sebarang perubahan tingkahlaku murid agar kesan gangguan emosi murid dapat ditangani pada peringkat awal lagi. Peranan keluarga dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan murid mempengaruhi hala tuju mereka. Keluarga yang harmoni akan melahirkan murid yang seimbang dari segi emosi dan cemerlang dalam semua bidang yang diceburi.



iii.        Pengaruh rakan sebaya

            Kehidupan di zaman kanak-kanak memang mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya. Minat dan kecenderungan mereka bergantung dan mengikut minat rakan sebaya mereka. Penerimaan rakan-rakan terhadap murid akan membentuk personaliti diri di sekolah. Rakan sebaya yang disenangi mudah untuk didekati, dan menjadi ikutan rakan-rakan yang lain. Murid yang diterima oleh kumpulannya, dari segi penampilannya lebih menyakinkan dan emosinya berada dalam keadaan tenang dan seimbang. Sikap mereka yang ceria, suka membantu, bersemangat dan bertolenrasi mengundang kesenangan kepada rakan-rakan yang lain. Menurut Tan Toh Wah (1995), pengaruh rakan sebaya memang memberi kesan kepada pembentukan peribadi pelajar. Rakan sebaya merupakan tempat murid-murid mencurahkan masalah terutama bagi golongan yang mempunyai masalah keluarga di rumah.

            Emosi murid yang terganggu menyebabkan mereka sering bersikap agresif, sombong dan sering menimbulkan masalah. Murid yang dipulaukan oleh rakan-rakan mereka sering mengalami masalah gangguan emosi. Gangguan yang dihadapi oleh murid sekiranya tidak terkawal akan mengakibatkan murid berkenaan bertindak di luar kawalan.

iv.        Gaya pengajaran guru

      Sebagaimana yang kita ketahui, guru memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid. Keberkesanan dalam proses pengajaran guru melahirkan murid yang serba boleh. Keyakinan murid terhadap guru semakin bertambah jika gaya penyampaian guru tidak membosankan. Kaedah chalk and talk bukan sahaja menimbulkan kebosanan malahan menambah lagi gangguan emosi kepada murid. Ketidakupayaan murid mencapai apa yang dihajati oleh guru dan pihak sekolah boleh menjadikan satu bebanan terhadap diri mereka.

      Tambahan pula, sistem penggredan murid lebih berorientasikan peperiksaan menjadikan murid mengejar sebanyak mana gred A yang boleh diperolehi. Murid yang mendapat markah yang tinggi sering diberi penghargaan manakala murid yang berada di kelompok lemah merasa semakin terpinggir. Menurut Syed Lutri (1994), guru bertanggung jawab untuk mencemerlangkan pelajar-pelajarnya dengan memperbanyakkan latihan, tunjuk ajar, kelas tambahan dan sebagainya untuk memastikan pelajar memahami dan memanfaatkan sepenuhnya apa yang diajar. Namun demikian, dalam sistem exam-oriented pelajar akan menumpukan sepenuh masa membaca bahan-bahan yang berpotensi akan disoal dalam peperiksaan dengan meninggalkan bahan-bahan bacaan ringan dan berat (pengetahuan am) yang boleh membantu mencabar pemikiran mereka dalam masyarakat global masakini.

      Personaliti guru yang tidak digemari juga mempengaruhi personaliti murid. Bagi matapelajaran yang tidak disukai oleh murid mereka akan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan menjawab sambal lewa. Perasaan serba kekurangan akan terus mengusai murid dan seterusnya menyebabkan emosi mereka terganggu.

v.        Tindakan guru

            Tuntutan untuk mengejar kecemerlangan membuatkan segelintir guru memberikan tugasan yang banyak. Kegagalan murid dalam menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan menyebabkan mereka menghadapi tekanan emosi. Masalah keciciran dan kurangnya bimbingan daripada pihak guru menyebabkan murid mengalami masalah emosi yang serius. Tugasan yang gagal disiapkan mengakibatkan murid merasa tidak selesa dengan guru berkenaan. Akhirnya mereka mengambil jalan pintas dengan berdiam diri, menyendiri dan kurang bergaul dengan rakan sebaya.

            Pihak guru seharusnya dapat mengesan simpton-simpton awal masalah gangguan emosi yang berlaku di kalangan murid. Kebijaksanaan guru menangani gangguan emosi murid dapat mengelakkan murid daripada terjerumus ke masalah yang lebih besar seperti gejala ponteng sekolah, merokok dan penyalah gunaan dadah.

vi.        Tuntutan gaya hidup
           
            Perubahan gaya hidup yang menuntut murid bergelumang dengan ledakan teknologi masa kini. Pendedahan terhadap perkembangan peranti terbaru seperti telefon pintar memaksa murid mencari ikhtiar untuk mendapatkan peranti terbaru di pasaran. Bagi mendapatkannya mereka memerlukan kewangan yang banyak. Murid akan cuba menuntut daripada keluarga agar mereka juga standing dengan rakan-rakan yang lain. Bagi keluarga yang berada diluar kemampuan mereka tidak mampu untuk menyediakannya. Perasaan rendah diri akan sentiasa membelenggu diri murid. Perasaan sebegini sedikit sebanyak menganggu emosi mereka. Masalah kemiskinan juga membuatkan murid merasa dirinya tidak sepadan dengan orang lain. Murid yang mengalami masalah ini akan mengambil sikap menyendiri dan kurang fokus terhadap pembelajaran
Kesan masalah gangguan emosi

            Guru yang sentiasa berhadapan dengan karenah murid dapat mengesan kesan dan akibat daripada gangguan emosi, antaranya seperti berikut ;
o   Kerap tidak hadir ke sekolah
o   Mengantuk di dalam kelas
o   Lesu
o   Sakit perut
o   Sakit kepala
o   Mudah di serang penyakit
o   Menyendiri
o   Prestasi akedemik yang merosot
o   Cemas, takut dan pemarah
o   Suka berbohong
o   Mencuri
o   Bertingkah laku ganjil
o   Suka berkhayal
o   Dengki
o   Memprotes

Langkah menangani gangguan emosi di kalangan murid

            Murid yang mengalami masalah gangguan emosi perlu diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya. Langkah pencegahan awal harus dimainkan oleh semua pihak yang terlibat dengan murid, ini termasuklah peranan ibu bapa dan guru. Gangguan emosi jika dibiarkan berlarutan akan menjejaskan perkembangan mental murid dan mengakibatkan murid mengalami kemerosotan prestasi akedemik. Antara langkah yang boleh diusahakan termasuklah:

i.        Peranan ibu bapa
           
            Tanggungjawab berat yang sedia menanti setiap ibu bapa dalam mendidik anak mereka seharusnya diambil perhatian. Anak ibarat kain putih, yang akan mencorakkannya pengaruh asuhan ibu bapa. Hasil dapatan kajian cendiakawan mendapati, cara bagaimana murid itu dibesarkan banyak mempengaruhi personaliti dan akhlaknya. Masalah keluarga yang sentiasa mempunyai konflik dalaman menyebabkan murid menjadi mangsa keadaan. Ahli keluarga terdekat sebaiknya mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan sebarang konflik yang timbul. Murid yang merasakan diri mereka dihimpit masalah gangguan emosi sebaiknya cuba mencari jalan keluar. Mereka boleh mencari rakan sebaya, guru, pemimpin masyarakat yang dipercayai untuk mencurahkan masalah.

            Perbincangan sesama ahli keluarga hendaklah sentiasa menjadi rutin pada setiap masa. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengambil berat keadaan pembelajaran anak di sekolah. Kedapatan segelintir murid bijak menyimpan rahsia mereka. Secara kesimpulannya keutuhan insitusi kekeluargaan bukan sahaja menjamin sebuah masyarakat yang harmoni malahan ianya menjadi asas kearah pembangunan modal insan yang cemerlang.

ii.        Peranan guru
           
            Murid yang sedang membesar, sebahagian hidupnya berkisar di kawasan sekolah. Suasana pembelajaran banyak mencorakkan emosi murid. Persekitaran yang kondusif ditambah lagi dengan sikap guru yang sentiasa mengambil berat, mesra, mudah didekati memberikan suasana yang selesa kepada murid untuk mencurahkan perasaan mereka sekaligus dapat membentuk emosi yang yang stabil semasa murid itu membesar. Menurut Mok Soon Sang (2008), peranan guru yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, tidak memilih kasih akan menjadikan suasana bilik darjah yang kondusif untuk murid menjalani proses pengajaran dan pembelajaran.

            Gaya pengajaran guru yang bersifat autokratik menimbulkan perasaan yang tidak puas hati kepada setiap murid. Sikap guru yang mengawal murid dengan memberikan hukuman mewujudkan suasana stress daan menjejaskan emosi murid di dalam bilik darjah. Gaya Demokratik, dimana seorang guru memberikan kebebasan tetapi dalam kawalan menimbulkan suasana pengajaran yang lebih menarik. Persekitaran proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik mengakibatkan murid sentiasa berada di dalam keadaan ceria dan menyeronokkan. Sikap murid dapat diperhatikan dengan memberikan respon yang positif, emosi yang terkawal dan sentiasa aktif di dalam sebarang aktiviti yang dirancang.





iii.        Dididikan Agama

            Agama adalah benteng segala-galanya. Semua agama yang diamalkan di Malaysia menjurus kepada nilai-nilai murni. Di dalam amalan agama Islam, solat adalah tiang agama, dengan menunaikan solat seseorang murid yang beragama Islam secara tidak langsung dapat mengawal diri mereka daripada terjebak kepada perkara-perkara yang melalaikan. Malahan ketaatan mengerjakan suruhan agama dapat memberikan ketenangan, jiwa yang tenang menghasilkan emosi yang stabil. Menurut Morsi (1998), kesihatan jiwa dalam Islam adalah suatu keadaan jiwa manusiayang merasakan redha dan puas apabila mempunyai akhlak yang baik terhadap Allah S.W.T diri sendiri dan orang lain. Manakala Al-Zahrani (2005) mendefinisikan kesihatan jiwa sebagai;
“…kematangan emosi dan sosial seseorang yang disertai dengan adanyakesesuaian dengan dirinya dan persekitarannya. Dia juga mampu untuk memikultanggungjawab kehidupan, serta mampu untuk menghadapi segala permasalahan yang menghalangnya dengan perasaan menerima realiti kehidupan, rasa redhadan kebahagiaan dengan apa yang berlaku”.

            Mahmud Audah (1994) berpendapat bahawa kesihatan jiwa adalah keadaan sesorang yang hidup di atas fitrahnya sebagai manusia yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t,sejahtera dengan orang lain, harmoni dengan diri sendiri, sejahtera jasadnya dan Berjaya dalam kehidupan.


Kesimpulan

            Menangani gangguan emosi di kalangan murid adalah tanggung bersama, baik di kalangan ibu bapa, masyarakat dan juga guru. Pencegahan pada peringkat awal, dapat mengelakkan masalah yang lebih serius pada masa murid tersebut dewasa kelak. Ibu bapa, guru juga seharusnya memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab. Kemahiran untuk menangani gejala gangguan emosi hendaklah dipelajari serba sedikit oleh guru. Emosi murid yang stabil akan menghasilkan murid yang berprestasi cemerlang dan melahirkan masyarakat yang harmoni, seterusnya menjadi daya penggerak ke sebuah negara yang aman dan sejahtera.


Tuesday, August 18, 2015